Saturday, November 16, 2013


University Street Irbid

Dijalan ini aku melihat indahnya kebahgian sebuah keluarga, si ayah menyambut hari indah di kedai makan yang mewah, mungkin meraikan hari jadi anaknya ataupun kejayaan ahli keluarga dalam pelajaran, ataupun hanya ingin mengeratkan hubungan keluarga. Walauapapun sebabnya, kegembiran jelas terpancar di setiap wajah mereka, terasa indah hidup bersama mereka yang disayangi.

Dijalan ini aku melihat juga anak muda dahagakan ilmu tidak henti-henti berkejaran bersama buku mereka, mereka tidak pernah jemu menggali ilmu, ada yang berjaya dengan usaha yang kuat, ada yang berkali-kali berusaha tapi masih tidak berjaya, ada yang berusaha waktu minit-minit akhir tapi mampu juga untuk berjaya, walauapapun cara mereka, aku percaya bahawa tuhan itu maha adil, tuhan bukan sahaja melihat usaha mereka, tuhan juga melihat hubungan mereka dengan-Nya. Namun dalam mereka berkejaran mengutip ilmu aku bimbang ramai yang tidak sedar matlamat utama kenapa mereka berkejaran mengutip ilmu, mereka adalah harapan kepada dunia akan datang.

Dijalan ini juga aku melihat si lelaki arab dengan pakainnya kerjanya yang agak kotor seperti pekerja di tapak pembinaan sedang menghirup kopi pahit, mungkin sedang memikirkan nasib hidupnya, walaupun kopi itu pahit, tetap dia menghirup, seperti kesusahan hidupnya, tetap mencuba dan mencipta, makin pahit kopinya makin berliku-liku kesusahan hidupnya. Mereka jatuh, bangun, jatuh, dan bangun lagi.

Di jalan ini aku melihat anak muda sedang lepak di kaki lima, sambil menikmati shisha dengan penuh kenikmatan, kadang kala mereka menonton perlawanan bola sepak, setiap sudut akan penuh dengan jiwa 'harapan', jalan ini akan riuh dengan sorakan mereka, kemudian aku melihat 'nasib baik' tidak pernah berjanji pada manusia, tidak semua harapan akan berakhir dengan gembira, adakalanya perlu terima hakikat kecewa sering kali menjadi teman selepas harapan menggunung.

Dijalan ini aku melihat si wanita cantik pakaiannya sedang menikmati makanan indah di kedai ala donut factory, warna makanan mereka sungguh cantik, manis, berwana-warni. kadang kala galak bercerita tentang jejaka idaman mereka, kadang-kadang bertukar cerita tentang fesyen-fesyen terkini, jarang sekali mendengar anak muda ini bercerita kesusahan hidup, hari-hari mereka sungguh manis, semanis gula dan seindah warna makanan mereka, golongan anti perubahan ini sangat tenang dengan selimut dan katil empuk mereka.

Dijalan ini juga aku melihat manusia yang tidak pernah kenal penat lelah, dari pagi hingga malam menguruskan kedai mereka, dalam kepalanya hanya ada perkataan untung, sangat benci dengan perkataan rugi, mereka sangat licik dalam mencari peluang, mulutnya manis di hadapan pelanggan, golongan ini sanggup berbuat apa sahaja demi keuntungan.

Dijalan ini aku juga melihat bagaimana 'simpati' itu menjadi tajuk pembelajaran setiap hari bagi seorang anak kecil dan seorang ibu, jauh sekali untuk berkenalan dengan sifat ego, berbekalkan gula-gula getah menyapa sesiapa sahaja yang terserempak dengannya, mengharapkan hasil jualannya untuk kehidupan hari esok. Baginya esok penuh dengan misteri, 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang adalah misteri baginya, bahkan hari ini juga belum tentu hidup miliknya.

Dijalan ini juga aku melihat manusia yang hilangnya nilai kemanusia, manusia yang bukan lagi manusia, mereka yang bertuhankan nafsu seperti binatang, tiada lagi budi pekerti, kasih sayang, kejujuran, keharmonian, tidak seperti mana yang ditinggalkan oleh datuk nenek mereka, yang tinggal adalah prejudis, sentimen, pesimis, prasangka, sengketa mahupun hedonisme.

Dijalan ini juga aku melihat si tua mencari kedamaian, di halaman rumah mereka tenang memerhati manusia yang  berkejar-kejaran kesana kemari. Kadang-kala bertongkat ke rumah tuhan di pagi hari. Bagi mereka kehidupan akan berakhir bila-bila masa, tidak ada yang perlu dikejarkan, yang tinggal hanyalah persiapan untuk ke dunia baru.

Jalan universiti tidak pernah sunyi dengan pelbagai warna, sudah masuk tahun ketiga aku melaluinya, banyak perkara yang aku belajar dari jalan ini, jalan ini memang sebuah universiti.
 
Twitter Facebook Tumblr