Tuesday, January 29, 2013

Jika bukan kita siapa lagi?

| | 0 ulasan



Pagi ini ketika saya menyemak akaun facebook, saya tertarik untuk melihat satu video promo drama yang dikritik hebat oleh kita masyarakat melayu islam, masing-masing meyuarakan bantahan mereka dengan sikap pelakon didalam cerita  itu yang membawa watak islamik tetapi tidak menunjukkan nilai-nilai islam itu sendiri.  Mereka mengatakan bahawa ini bukan drama islamik kerana wujudnya adegan sentuh antara lelaki dan perempuan walaupun pelakon perempuannya memakai purdah dan pelbagai lagi tohmahan yang saya kira tidak perlu saya sebutkan di sini. Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis tentang ini sejak dari TAHAJUD CINTA ditayangkan sehinggalah hari ini barulah saya berpeluang.


Seni

Al-Farabi menjelaskan bahawa seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya. Herbert Read mendefinisi seni sebagai ciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Aristotle pula, seni itu 'is a higher type of knowledge than experience. In part, art completes what nature cannot elaborate; and in part, it imitates nature’.

Bagi saya seni merupakan sesuatu yang indah, dan semestinya untuk menghasilkan sesuatu yang indah ini juga pastilah bukan sesuatu perkara yang mudah, ia bukan sahaja memerlukan jiwa dan perasaan untuk mendalaminya tetapi juge perlu diiringi dengan ilmu, pengetahuan, pendedahan, pengalaman dan kemahiran yang mendalam.

Seni dan Islam

Islam  tidak pernah melarang umatnya untuk berseni, kerana seni itu merupakan fitrah kepada setiap manusia, bahkan islam itu sendiri bersifat indah. Tuhan berfirman di dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1-4  “Katakan, Dialah Allah Yang Maha Esa.   Tempat bergantung segala sesuatu.   Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.  Tidak ada siapa yang setara dengan Dia.” Sejauh mana seni itu pergi dengan keindahannya, ia tidak boleh lari daripada pergantungannya pada tempat yang maha esa, kerana kadangkala seni itu bersifat khayalan. Pengkarya boleh memberi pelbagai perasaan pengalaman, mahupun keilmuan  namun ruang itu perlu dikawal dengan sebaiknya agar apa yang kita panggilnya sebagai batas syara’ itu  tidak dilanggar.

Islam hadir untuk merubah masyarakat arab jahiliyyah yang cukup rendah moralnya ketika awal kedatangannya sekali gus membawa rahmat keseluruh alam. Saya kira seni yang bercorokkan islam yang hadir pada hari ini tidak terlepas daripada tujuan itu, ia hadir bagi memulihkan akhlak kepada kemurnian tamadun, dan saya percaya seni yang bertujuankan itu perlulah mempunyai pegangan yang kukuh dalam membawa nilai-nilai islam, tidak perlu takut atau goyang dengan cabaran yang wujud dalam era yang mencabar ini.

Prof. Syed Naquib Al-Attas,  pernah menyebut : ”Kehidupan itu ibarat pengembaraan tanpa persuaan, yang sentiasa ditempuh bagi mencari maknanya: dan kedirian itu ibarat yang menjelmakan serta juga dijelmakan oleh maknanya dan makna hidup demikian – sekalipun mungkin tercapai oleh diri yang menuntut mencarinya  -   tiada dapat lari dari nasib terkena hukum nilaian nisbi jua.” (Lihat RISALAH oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas  -  muka surat 116).

Sikap marah

Bagi saya marah bukanlah sesuatu perkara yang bagus, malah islam sangat membenci sikap marah, marah itu juga tidak membawa apa-apa makna malah boleh merugikan diri sendiri, walaupun kadang kala marah itu ternampak seperti ia berguna. Benar kita ingin menunjukkan solidarity kita sebagai orang yang mempertahankan agama kita, kita perlu kritik, tetapi benarkah hanya dengan kritik dan bersikap marah sahaja? adakah itu menyelesaikan masalah dan menjamin tidak akan berulang pada masa akan datang? Bagi saya jangan hanya menjadi masyarakat yang tahu marah dan mencaci sahaja.

Manusia itu dianugerahi akal yang sangat bermanfaat, seharusnya kita menggunakannya untuk mencari ilmu dan manfaatkannya, golongan agama jangan hanya tahu marah apabila pengkarya film tersilap dalam membina film berkongsepkan agama, seharusnya golongan agama tampil ke hadapan memberi solusi, bukan hanya menjerit di laman-laman facebook menyatakan itu haram, ini haram dan sebagainya. Berikan pendapat yang benar tentang kesalahan itu, kita telah lahirkan terlalu ramai pengkritik, tetapi pembina terlalu sedikit. Saya sarankan untuk golongan agama memasuki bidang perfileman, jika tidak panel syariah film sekalipun, jadilah penulis skrip, asalakan kita bukan hanya sekadar pengkritik tetapi kita juga pembina.

Saya akhir penulisan saya dengan beberapa persoalan yang biasa kita dengar tetapi jarang kita ambil serius tidak kira apa sahaja isunya.

Kenapa kita hanya tahu marah?

Sampai bila kita perlu marah? 
Kenapa bukan kita sendiri yang membina?
Jika bukan kita siapa lagi?

“Hanya ada 2 jenis anak muda di dunia,  Mereka yang menuntut perubahan
Mereka yang menciptakan perubahan, Silakan pilih perjuanganmu.”
― Pandji Pragiwaksono


0 ulasan:

 
Twitter Facebook Tumblr